Isnin, 18 Januari 2010

Kursus Perguruan Asas dan Kursus Pengurusan PASTI

Pada 15 hingga 17 Jan '10 yang lalu berlangsung Kursus Asas Perguruan PASTI (KAPP 1 & 4) di D'Congkak Forest, Hulu Langat. Seramai lebih 200 orang guru Pasti dari seluruh Negeri Selangor yang terdiri daripada guru-guru baru dan guru-guru yang melengkapkan kursus modul 4 telah menyertai kursus 3 hari ini. Kawasan Kota Raja telah menghantar 12 orang guru pada kali ini. Sementara itu, Kursus Pengurusan PASTI juga telah diadakan di Suara Rimba Resort tidak jauh dari D' Congkak Forest. Penyertaan daripada kalangan para pengurus dan bendahari PASTI kawasan dan cawangan amat menggalakkan termasuk 5 orang wakil daripada Kota Raja. Peserta telah didedahkan dengan ilmu pengurusan pentadbiran dan kewangan yang amat penting dalam pengurusan PASTI sepanjang kursus 2 hari yang bermula pada 16 hingga 17 Januari 2010 yang lalu.

Sebahagian guru Pasti yang mengikuti Kursus KAPP 1 & 4


Para Pengurus dan Bendahari PASTI di Kursus Pegurusan di Suara Rimba Resort

Bengkel Buku Kreativiti MGP kawasan Kota Raja

9 Januari 2010, Bengkel membinaan buku kreativiti PASTI anjuran Majlis Guru PASTI (MGP) kawasan Kota Raja telah diadakan di dewan MBSA Kg. Sungai Kandis. Bengkel ini telah disertai oleh 23 orang guru dari cawangan-cawangan PASTI dalam kawasan Kota Raja. Pengerusi PASTI Kawasan Kota Raja, En. Mohd Ryne Bin Abdullah telah merasmikan program sehari ini. Matlamat dan objektif program ini adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan serta menyelaraskan aktiviti kreativiti PASTI Negeri Selangor. Disamping itu juga, mendedahkan guru-guru PASTI agar lebih kreatif dan berinovatif.

Suasana program sedang berlangsung.

Sesi penerangan oleh Pn Noraini, Setiausaha MGP Kawasan Kota Raja.


Ketua MGP Kawasan Kota Raja, Pn. Dzulina sedang memberi bimbingan kepada guru-guru dalam bengkel kreativiti



Guru-guru sedang berkreativiti.



Isnin, 4 Januari 2010

Pendaftaran murid Pasti sesi 2010



Hari ini, 10 buah Pasti kawasan Kota Raja termasuk 2 buah Pasti baru memulakan sesi persekolahan tahun 2010. Sejak jam 7.30 pagi lagi ibu bapa telah berpusu-pusu ke Pasti untuk mendaftarkan anak-anak mereka belajar di institusi prasekolah Islam ini. Hari pertama sahaja hampir semua Pasti memperlihatkan sambutan yang amat menggalakkan dan beberapa Pasti menunjukkan peningkatan jumlah pelajar yang ketara. Pasti al-Khauthar Kota Kemuning yang baru memasuki tahun kedua penubuhannya telah menerima kemasukan murid seramai 65 orang berbanding 26 orang murid pada tahun 2009. Begitu juga jumlah murid Pasti Syaidatina Aisyah Bkt Naga yang telah mencecah lebih 140 orang dan Pasti al-Amanah 130 orang. 2 buah Pasti baru iaitu Pasti As-Syifa' Sri Andalas dan Pasti Nurul Hidayah Bukit Lanchong yang mula beroperasi hari ini juga mula menerima pendaftaran murid yang dijangka meningkat dalam masa seminggu ini.

Rabu, 30 Disember 2009

Perutusan Ketua Pengarah PASTI Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman. 

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini. 

Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.  

Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah. 

Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara. 

Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan ilahi. Terima kasih. 

Azrin bin Ab. Majid

Isnin, 28 Disember 2009

Bekas pelajar PASTI Kota Raja Cemerlang PMR-9A

Oleh Ahmad Hakim Kari

Seorang bekas pelajar PASTI Kawasan Kota Raja, Mohd Fazrul Akmal Bin Hj Samsiri telah mendapat pencapaian 9A di dalam peperiksaan PMR baru-baru ini. Beliau merupakan pelajar terawal di PASTI Syaidatina Aisyah yang ditubuhkan pada tahun 1998. Selepas menamatkan pengajian prasekolah di PASTI, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Bukit Naga dan Sekolah Rendah Agama Bukit Naga. Seterusnya di Sekolah Agama Menengah Hishamudin Kg Jawa dan mencapai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR yang telah diumumkan baru-baru ini.Di dalam peperiksaan tersebut beliau telah mendapat gred A bagi semua mata pelajaran termasuk Bahasa Arab sebagai mata pelajaran tambahan. Mengulas mengenai pencapaian tersebut, abang beliau En Hafiz Hj Samsiri menyatakan bahawa pencapaian tersebut merupakan hasil dari didikan awal yang diterima di PASTI. Menurut beliau lagi, walaupun pada peringkat awal penubuhan PASTI Saidatina Aisyah menghadapi kekurangan dari segi kemudahan prasarana namun pencapaian adiknya itu mebuktikan bahawa sistem prasekolah PASTI telah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Timbalan Penyelaras Jabatan PASTI Kawasan Kota Raja, Sdr Mohd Nor Basiron pula berpendapat pencapaian cemerlang bekas pelajar PASTI di dalam peperiksaaan merupakan salah satu sumbangan PASTI di dalam pendidikan negara. "Sebenarnya ramai bekas pelajar PASTI di Kawasan Kota Raja yang telah membuktikan pencapaian cemerlang mereka dalam pelbagai bidang akademik dan kerjaya" tambahnya lagi. Oleh itu beliau menyeru kepada ibu bapa, khasnya di kawasan Kota Raja untuk tidak ragu-ragu bagi menghantar anak-anak mereka ke PASTI di Kawasan Kota Raja yang kini berjumlah 1o buah.     

Selamat Pengantin Baru


Pasti Kawasan Kota Raja mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Setiausaha Kerja PASTI Negeri Selangor Sdr Mohd AlHafiz Adzhan dan pasangannya semuga Allah SWT memberkati keluarga ini. Amin

Isnin, 21 Disember 2009

Kursus Perguruan Asas PASTI Selangor


Bermula 20 hingga  22 Disember 2009, Kursus Perguruan Asas PASTI telah diadakan di D' Congkak Forest dan dihadiri lebih 200 orang guru PASTI dari seluruh kawasan di Negeri Selangor. Majlis Perasmian penutup dilakukan oleh YB Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.