Rabu, 30 Disember 2009

Perutusan Ketua Pengarah PASTI Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman. 

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini. 

Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.  

Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah. 

Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara. 

Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan ilahi. Terima kasih. 

Azrin bin Ab. Majid

Isnin, 28 Disember 2009

Bekas pelajar PASTI Kota Raja Cemerlang PMR-9A

Oleh Ahmad Hakim Kari

Seorang bekas pelajar PASTI Kawasan Kota Raja, Mohd Fazrul Akmal Bin Hj Samsiri telah mendapat pencapaian 9A di dalam peperiksaan PMR baru-baru ini. Beliau merupakan pelajar terawal di PASTI Syaidatina Aisyah yang ditubuhkan pada tahun 1998. Selepas menamatkan pengajian prasekolah di PASTI, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Bukit Naga dan Sekolah Rendah Agama Bukit Naga. Seterusnya di Sekolah Agama Menengah Hishamudin Kg Jawa dan mencapai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR yang telah diumumkan baru-baru ini.Di dalam peperiksaan tersebut beliau telah mendapat gred A bagi semua mata pelajaran termasuk Bahasa Arab sebagai mata pelajaran tambahan. Mengulas mengenai pencapaian tersebut, abang beliau En Hafiz Hj Samsiri menyatakan bahawa pencapaian tersebut merupakan hasil dari didikan awal yang diterima di PASTI. Menurut beliau lagi, walaupun pada peringkat awal penubuhan PASTI Saidatina Aisyah menghadapi kekurangan dari segi kemudahan prasarana namun pencapaian adiknya itu mebuktikan bahawa sistem prasekolah PASTI telah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Timbalan Penyelaras Jabatan PASTI Kawasan Kota Raja, Sdr Mohd Nor Basiron pula berpendapat pencapaian cemerlang bekas pelajar PASTI di dalam peperiksaaan merupakan salah satu sumbangan PASTI di dalam pendidikan negara. "Sebenarnya ramai bekas pelajar PASTI di Kawasan Kota Raja yang telah membuktikan pencapaian cemerlang mereka dalam pelbagai bidang akademik dan kerjaya" tambahnya lagi. Oleh itu beliau menyeru kepada ibu bapa, khasnya di kawasan Kota Raja untuk tidak ragu-ragu bagi menghantar anak-anak mereka ke PASTI di Kawasan Kota Raja yang kini berjumlah 1o buah.     

Selamat Pengantin Baru


Pasti Kawasan Kota Raja mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Setiausaha Kerja PASTI Negeri Selangor Sdr Mohd AlHafiz Adzhan dan pasangannya semuga Allah SWT memberkati keluarga ini. Amin

Isnin, 21 Disember 2009

Kursus Perguruan Asas PASTI Selangor


Bermula 20 hingga  22 Disember 2009, Kursus Perguruan Asas PASTI telah diadakan di D' Congkak Forest dan dihadiri lebih 200 orang guru PASTI dari seluruh kawasan di Negeri Selangor. Majlis Perasmian penutup dilakukan oleh YB Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Kursus Jurulatih Utama PASTI


Kursus Jurulatih Utama PASTI telah diadakan pada 16-17 Disember 2009 bertempat di bangunan ibupejabat PASTI Pusat. Kursus ini telah dihadiri oleh wakil MGP kawasan daripada seluruh Negeri Selangor dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah PASTI Pusat, Cikgu Azrin Ab Majid. PASTI Kawasan Kota Raja tidak ketinggalan menghantar 3 orang wakil guru di program ini.

Isnin, 7 Disember 2009

MALAM TAUTAN KASIH -PASTIku berAMAL

6 Disember 2009, PASTI dan Jabatan AMAL Kawasan Kota Raja mengadakan majlis Malam Tautan Kasih bersama Presiden PAS, YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang. Majlis yang diadakan untuk mengumpul dana pembangunan PASTI dan Jabatan AMAL berjaya menarik lebih 500 orang penderma hadir ke majlis tersebut. Majlis diserikan dengan persembahan daripada Sdr Mahmud Mastam yang memukau hadirin dengan lagu-lagunya yang mengusik jiwa nurani. Tayangan video dan slide daripada PASTI dan Jabatan AMAL juga dipersembahkan sebagai selingan antara beberapa ucapan pemimpin yang hadir di antaranya YDP Kota Raja, Cikgu Jaafar bin Shamsudin dan Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr. Siti Mariah binti Mahmud. Di akhir majlis, anugerah Tokoh kepada YgBhg. Ustaz Hambari telah disampaikan oleh YB Tuan Guru Presiden PAS.

PASTI Kawasan Kota Raja mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha gigih semua pihak yang menjayakan majlis ini dan para penderma dana pembangunan PASTI Kota Raja. 

Para hadirin yang memenuhi dewan.


Penyambut Tetamu muslimat daripada kalangan MGP kawasan

Sdr Mahmud - bintang di majlis ini.

YB Dr Siti Mariah Mahmud memberikan ucapan aluan.

YB Tuan Guru Presiden menyampaikan amanat dan mutiara ilmu kepada hadirin

Meja makan VIP.

Pengarah Program, Sdr Mohd Nor Basiron melayani para tetamu kehormat. Turut hadir YB Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Tn Shuhaimi Shafie, ADUN Sri Muda.

Kaum India juga turut memberi sokongan.


Ust Hj Hambari dianugerahi Tokoh PAS Kota Raja.


Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan.

Gambar lain akan menyusul kemudian.

Ahad, 15 November 2009

Hari Konvokesyen dan Kecemerlangan PASTI

15 Nov, PASTI Cawangan di Kota Raja mengadakan Hari Konvokesyen dan Kecemerlangan PASTI hari ini. PASTI Nurul Hidayah dan PASTI At-Taqwa mengadakan majlis bersama di Dewan MBSA Jalan Kebun. Manakala PASTI Syaidatina Aisyah Bukit Naga, PASTI Al-Iqbal Seksyen 27 dan PASTI An-Nur Islam Putra Height mengadakan majlis yang sama pada 14 November 2009 lalu di PASTI masing-masing. Majlis tahunan ini diadakan untuk meraikan para pelajar cemerlang dan yang akan menamatkan sesi persekolahannya pada tahun ini. 

(Gambar kiri) En Azmi Jusoh, Pegawai Khas YB Dr Siti Mariah Mahmud merasmikan Hari Konvokesyen dan Kecemerlangan PASTI Nurul Hidayah & PASTI At-Taqwa. (Gambar kanan) Ustaz Ahmad Arum menyampaikan Tazkirah di majlis tersebut.

Persembahan Nasyid

Lakonan "Kelas PASTI"

Ibu bapa yang hadir memeriahkan majlis.

Khamis, 12 November 2009

Peperiksaan Setara PASTI Selangor

Peperiksaan Setara PASTI Negeri Selangor bagi memilih pelajar terbaik Negeri Selangor telah diadakan pada 12 November 2009 di bangunan ibupejabat PASTI Pusat, Gombak. Seramai 44 orang pelajar dari 22 buah PASTI kawasan telah terpilih mengambil peperiksaan setara ini. Sebelum daripada ini pada 5 November 2009 yang lalu telah diadakan peperiksaan setara peringkat kawasan yang melibatkan 225 buah PASTI cawangan di seluruh negeri Selangor. Peperiksaan Akhir Tahun PASTI Pusat telah diadakan pada 19 hingga 22 Oktober 2009 yang lalu serentak di setiap cawangan PASTI melibatkan lebih 63 ribu pelajar di seluruh negara.

KEPUTUSAN
Pelajar 5 Tahun : Puchong (80%), Serdang, Kuala Langat (77%), PJS,Hulu Selangor (76%), Selayang, Sepang, Klang (72&), Subang (68%), Gombak (65%), PJU, Ampang (64%), Pandan, Kuala Selangor (62%), Tanjung Karang (60%), Shah Alam, Hulu langat (54%), Kota Raja (40%), S. Bernam (38%), Sg Besar (32%) dan Kelana Jaya (20%).
Pelajar 6 Tahun : Kuala Selangor (89%), Serdang (88%), Subang (87%), Klang, Hulu Selangor (85%), Sabak Bernam, Shah Alam (84%), Puchong (82%), Kuala Langat (79%), Gombak (77%), Kota Raja, Ampang (76%), PJS, Kapar (74%), Hulu langat (73%), Pandan (72%), Sepang, Selayang (70%), Tg Karang (69%) PJU (63%), Kelana Jaya (54%) dan Sg Besar (40%)


Sebahagian pelajar PASTI yang mengambil peperiksaan.


Jawatankuasa MGP Negeri Selangor bermesyuarat membincangkan persediaan Peperiksaan Setara.


Pelajar Terbaik PASTI Selangor 2009 bergambar bersama Ustaz Hasbullah Ridzwan, Pengarah PASTI Negeri Selangor.

Selasa, 3 November 2009

Malam Tautan Kasih PASTIku berAMAL



Assalamualaikum wbt,

Majlis Makan Malam bersama YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja akan diadakan pada 6 Disember 2009 di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang. Kupon infak bernilai RM10.00 seorang ditawarkan kepada Tuan/Puan/Saudara/Saudari semua untuk mengisi dana pembangunan PASTI dan Jabatan Amal Kawasan Kota Raja. Sila hubungi 013-2772918 (Sdr Pak Yeop), 013-6347821 (Sdr Mohd Nor) atau 012-6031640 (Sdr Azman) untuk keterangan lanjut.

Segala sumbangan serta sokongan Tuan/Puan/Saudara/Saudari semua didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

"Pastiku berAmal"

Isnin, 2 November 2009

Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PASTI Malaysia

Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PASTI Malaysia telah diadakan dengan gilang-gemilang pada 30-31 Oktober 2009 di Kota Bharu, Kelantan. Majlis Perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Negeri Kelantan. Sambutan diadakan di dataran Stadium Sultan Muhamad Ke IV, Kota Bharu dengan dihadiri oleh semua warga PASTI dari seluruh negara. PASTI Kota Raja  juga tidak ketinggalan mengikuti rombongan dua bas deligasi PASTI Negeri Selangor ke sambutan ini. Acara penting sepanjang dua hari sambutan ialah Pelancaran Kurikulum KAFFAH, pakaian seragam baru PASTI dan Alumni PASTI serta penganugerahan kepada tokoh-tokoh dan penggerak Pasti. Di samping itu diadakan juga pameran daripada PASTI negeri-negeri dan pelbagai pertandingan untuk pelajar, guru dan orang ramai. Satu perlawanan bola sepak persahabatan juga telah diadakan di stadium Sultan Muhamad ke IV di antara ALP PASTI Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.



YAB Tuan Guru ketika merasmikan sambutan

Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia


Jawatankuasa Penaja Alumni PASTI (berbaju biru) bergambar bersama pelajar PASTI yang menggayakan pakaian seragam baru. 

Lagi gambar sekitar Sambutan Jubli Perak PASTI menyusul kemudian.

Pada 31 Oktober 2009 bertempat di Hotel Raudhah Kota Bharu berlangsungnya Mesyuarat Agung Kali Pertama Koperasi Pendidikan dan Kebajikan Anak Soleh Tunas Islam Bhd (KOPASTI). Mesyuarat tersebut diadakan untuk memilih Ahli Lembaga Pengarah KOPASTI bagi menerajui koperasi ini.


Barisan ALP KOPASTI yang dilantik


Sebahagian perwakilan KOPASTI yang hadir

Ahad, 18 Oktober 2009

Buletin PASTI Selangor

PASTI Negeri Selangor melalui Unit Penerbitan telah menerbitkan Buletin PASTI Selangor edisi 2009. Buletin yang diberikan secara percuma ini merupakan salah satu usaha PASTI Negeri Selangor untuk menyalurkan informasi semasa dan terkini kepada semua ibu bapa dan warga PASTI amnya.


Klik pada gambar untuk pembesaran.









Selasa, 13 Oktober 2009

Peperiksaan Akhir Tahun PASTI 2009

Peperiksaan Akhir Tahun PASTI Negeri Selangor 2009 untuk pelajar 5 dan 6 tahun akan dijalankan pada 19 sehingga 22 Oktober 2009. Ujian Lisan diadakan selepas dari tarikh peperiksaan. Para Pengurus PASTI cawangan diharap dapat memberi perhatian terhadap persediaan dan kehadiran para pelajar untuk menjalani peperiksaan. Sila maklumkan kepada ibu bapa pelajar berhubung peperiksaan tersebut.


Beberapa arahan penting daripada PASTI Negeri Selangor adalah seperti berikut:


1. Pastikan pelajar pulang mengikut jadual persekolahan biasa

2. Waktu persekolahan adalah jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi.

3. Semua PASTI Cawangan WAJIB menjalankan peperiksaan secara serentak mengikut jadual yang diedarkan oleh PASTI Negeri Selangor.

4. Ujian Lisan sila dapatkan maklumat daripada MGP Negeri Selangor

5. Analisis Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun PASTI cawangan wajib diserahkan kepada PASTI kawasan sebelum 31 Oktober 2009.



Program PASTI di Bagan Pinang

Pada 4 Oktober 2009 yang lalu berlangsung sambutan Aidilfitri di lima buah PASTI di dalam DUN Bagan Pinang. Program bermula jam 9.00 pagi di PASTI Iqra Taman Intan Perdana. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Jerai, Kedah, Yang Berhormat Ustaz Firdaus Jaafar. Turut hadir Ketua Pengarah PASTI Malaysia bersama dengan sebahagian Ahli Lembaga Pengarah PASTI.


Majlis berakhir pada jam 4.15 petang. Sambutan di PASTI Iqra’ II, Taman PD Utama  ini amat istimewa kerana dihadiri oleh Ahli Parlimen Padang Terap, YB Ustaz Nasir Zakaria dan dua orang ADUN iaitu, YB Ustaz Latif dari Mengkabang, Kelantan dan YB Mr Ravi, ADUN Port Dickson. YB Mr Ravi turut membawa 30 orang pengundi tegar di DUN Bagan Pinang ini.


Begambar kenangan di PASTI At-Taqwa


Santai - menikmati juadah raya


Sebahagian masyarakat kaum India yang hadir

Duit raya pun tak lupa

Rabu, 30 September 2009

Jualan PROMOSI Pakaian Seragam Sekolah


Koperasi PASTI Berhad (KOPASTI) dan Majlis Guru PASTI (MGP) menyediakan jualan promosi pakaian seragam sekolah jenama 'Canggih by Pasti' dengan potongan harga istimewa berbanding harga di pasaran untuk para pelajar yang akan memasuki alam persekolahan pada tahun 2010. Tempahan boleh dibuat di semua premis PASTI Kota Raja terpilih bermula 1 Oktober 2009. Sampel pakaian dan maklumat berkaitan disediakan di PASTI.

'Bersama membantu ekonomi PASTI dan jana pendapatan di akhirat'

Khamis, 17 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Kepada guru-guru, ibu bapa, murid-murid kesayangan dan seluruh warga PASTI Kawasan Kota Raja,  kami mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Bersama kembali kepada fitrah Islam, meningkatkan ketaqwaan, memohon kemaafan dan mengeratkan persaudaraan di bulan Syawal.

Ingatan tulus ikhlas daripada
Pengerusi dan Jawatankuasa Penyelaras PASTI Kawasan Kota Raja

Isnin, 14 September 2009

Majlis Berbuka Puasa PASTI


13 September 2009, Majlis berbuka puasa bersama Ahli Lembaga Pengarah PASTI Negeri Selangor dan Pengerusi-pengerusi PASTI Kawasan telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kg Bukit Badong, Ijok. Para petugas Pesta Sukan PASTI Malaysia yang diadakan di UNISEL baru-baru ini juga telah diraikan di majlis tersebut. Sebelum daripada itu, mesyuarat penuh PASTI Negeri Selangor telah diadakan di tempat yang sama.

Khamis, 10 September 2009

Majlis Khatam Al-Quran

6 September 2009 Ahad (16 Ramadhan 1430). Majlis Khatam Al-Quran Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Selangor telah diadakan di Markaz Tarbiyah Batu 1, Sabak Bernam. Guru-guru PASTI Kota Raja turut meraikan majlis tersebut bersama guru-guru PASTI yang hadir dari seluruh Negeri Selangor. Majlis dirasmikan oleh YB. Dr Halimah bin Hj Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Khamis, 3 September 2009

PASTI Venikam

Jika kita ke Ladang Rubana, Matang Guntung, Seberang Perak, kira-kira 15 km dari Bandar Teluk Intan terdapat sebuah PASTI untuk masyarakat kaum India. PASTI tersebut dinamakan PASTI Venikam. Menurut wakil masyarakat kaum India En.Kumar, PASTI tersebut dibuka memandangkan tiada prasekolah di kawasan tersebut dan tadika PASTI pula terbukti adalah yang terbaik.
Mungkin sudah tiba masanya PASTI Venikam ini dapat direalisasikan pula di Parlimen Kota Raja. Tentunya Pasti dan Lajnah Perpaduan Nasional boleh mula mengorak langkah ke arah cita-cita tersebut.

Sesi penerangan dan taklimat telah diadakan oleh PASTI terhadap masyarakat kaum India tersebut. Pengarah PASTI Negeri Perak, Tn. Hj.Hashan Aladi bin Ahmad merakamkan ucapan tahniah di atas penubuhan PASTI Venikam semasa memberikan taklimat berhubung sistem persekolahan di PASTI.

Isnin, 17 Ogos 2009

Kursus Pembinaan Laman Web

15 Ogos, Sabtu, 3 orang wakil PASTI Kawasan Kota Raja telah mengikuti kursus Pembinaan Laman Web di e2L, Damansara Utama bersama 34 orang lagi wakil  daripada PASTI Selangor. Kursus yang kadar yurannya bernilai RM 1 ribu seorang peserta itu telah dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat ternama di sini. Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan asas pembinaan laman web menggunakan perisian Dreamweaver CS3.