Selasa, 19 Mei 2009

Air Mata Mengiringi Penobatan Tokoh Guru PASTI 2009

Puan Faridah Dawam dari Perak telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru PASTI Peringkat Kebangsaan 2009 di Hotel Emas, Tawau Sabah pada 16 Mei 2009 di majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia. Para hadirin tidak dapat menahan rasa sebak turut mengalirkan air mata apabila pengerusi majlis membacakan biodata Tokoh Guru PASTI ini yang menjalani liku-liku hidupnya bersama PASTI.

Puan Faridah Dawam dilahirkan pada 2 Mei 1968 di Kg Gajah, Perak. Terlibat dengan PASTI dari tahun 1988 selepas tamat peperiksaan STPM. Mengajar pada mulanya suka-suka akhirnya membuatkan beliau tertarik dengan PASTI walaupun imbuhan untuk mendidik anak-anak PASTI tidak seperti tawaran yang pernah beliau dapat namun hatinya sudah terpaut dengan PASTI
Beliau juga terlibat dengan PAS seiring dengan penglibatan beliau di dalam PASTI pada 1987. Beliau menjadi AJK penaja penubuhan Dewan Muslimat PAS Kg Gajah dan pada umur 22 tahun beliau telah diberi amanah sebagai ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Kampung Gajah.

Beliau telah bertemu jodoh dengan Mohd Hasyim bin Yahya dan telah dikurniakan 7 orang cahaya mata namun pada tanggal 26 Julai 2006 telah berlaku satu kemalangan maut semasa dalam perjalanan menziarahi anaknya di Ma'ahad Al-Islah Sungai Lampam (Jalan kampung Gajah - Teluk Intan) yang melibatkan beliau sekeluarga. Suaminya telah meninggal dunia di dalam kejadian itu. Beliau dan 2 orang anaknya cedera parah dan dimasukkan ke wad ICU Ipoh. Berita kematian suami tercinta hanya diketahui setelah 5 hari kejadian berlaku.

Dengan tabah beliau meneruskan kehidupan sebagai ketua keluarga dengan pendapat dari imbuhan guru PASTI sebanyak RM300 sahaja serta sumbangan dari orang ramai. Hasil tarbiyyah yang diterima beliau cekal meneruskan kehidupan membesar dan mendidik anak-anaknya walaupun keseorangan sebagai ketua keluarga, beliau tidak pernah memberi alasan untuk tidak terlibat dengan apa saja program anjuran PASTI atau parti.

Puan Faridah Dawam seorang yang sentiasa berfikir untuk memajukan PASTI dan parti. Bersama iltizam dan sokongan dari teman-teman seperjuangan beliau bertekad meneruskan perjuangan memastikan anak-anaknya, murid-murid PASTI dan masyarakat keseluruhannya memahami Islam dan seterusnya syariat Islam tertegak di bumi Malaysia yang tercinta ini. Kini beliau diamanahkan sebagai Ketua Majlis Guru PASTI Kawasan Pasir Salak dan Timbalan Ketua Majlis Guru PASTI Negeri Perak.


Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Hj Salahuddin Ayub sedang menyampaikan anugerah Tokoh Guru PASTI kepada Puan Faridah Dawam dan diperhatikan oleh Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Cikgu Azrin Abdul Majid





DIARI GURU PASTI - Sebuah kisah benar

PRAKATA

TIDAK pernah terlintas dalam benaknya untuk menjadi seorang guru. Lebih-lebih lagi guru kepada kanak-kanak berumur 4 - 6 tahun. PASTI ini ditubuhkannya dengan bantuan arwah suami tercinta. Tekanan dari segenap ceruk, baik dari kerajaan dan masyarakat dihadapinya dengan tabah. Benar juga kata nabi "Islam di akhir zaman akan ditekan oleh orang islam sendiri". Walaubagaimanapun, diatas kesedaran perlunya pendidikan agama disemai sejak kecil lagi, maka dikuatkan juga semangatnya. Pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan menjadi teman setia sepanjang kariernya. Gaji yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa mengurus sendiri perjalanan & pentadbiran PASTI tanpa perhatian dari AJK yang dilantik. Cukup memeritkan. Mengurus, dan dalam masa yang sama mentarbiah 30 orang murid-murid berseorangan bukanlah perkara yang senang.

DIARI GURU PASTI
(SUATU KETIKA DI BULAN SEPTEMBER)

06.00 am
Solat subuh dan kejutkan anak-anak.

07.00 am
Tiba disekolah
Mengemas, menyapu, membasuh pinggan, memasak
Semak yuran pelajar. Ramai tak bayar. Nampaknya sikit laa elaun bulan ini.
Elaun bulan lepas cuma RM 150 saja..
Dengan duit itulah anak-anak dibesarkan...
Tapi Allah dah janjikan rezeki utk hambanya yang berjuang di jalan agama.
Api dan air sekolah pulak....dah 02 bulan x bayar....
Nak bayar hutang PASTI di kedai Mak Cik Limah macamana???
Minta tolong dgn AJK??
Sejak sebulan dua ni...
batang hidung pun tak nampak.

08.00 am
Kelas bermula
Agak tak selesa. Semalam ribut & hujan lebat. Bocor sana bocor sini.
Kat dinding belakang pulak penuh dengan anai-anai.
Bila laa boleh baiki.
Pagi ni Bahasa Melayu, selepas itu Bahasa Inggeris.
Sedang asyik mengajar..
Aiman terbuang air besar dalam kelas. Kecoh satu kelas. Terpaksa laa kelas 'break' seketika.
Selesai kes Aiman, Aishah pula meraung-meraung macam kena histeria : dicubit oleh rakannya.
Aduhhh...teruk betul.

10.00 am
Minum pagi,
Makan biskut tawar dengan air kopi tea.
Berselera betul budak-budak tu...
Tiba-tiba kecoh lagi. Aishah membalas dendam terhadap rakannya tadi.
Dicurahkannya air tea suam keatas kepala rakannya tadi.
Riuh rendah jadinya.
Sabarrrr jee laaa.

10.30 am
Dua orang lelaki datang melawat. Mengaku sebagai polis.
Minta henti dan tutup sekolah ini.
Tanya itu dan ini... Siap bagi amaran lagi.
Awalnya gabra jugakk.
Tapi, salah ke mengajar agama untuk budak-budak?
Entah laa... dunia akhir zaman...yang mengajar agama di tekan, yang buat maksiat di lepaskan.

11.00 am
Subjek Matematik dan Al Quran. Semua subjek kena pandai.
Maklum lah...guru contoh la katakan. :)

12.00 pm
Kelas Qiraati, jadi ustazah pulak.
Ibu Fatimah datang awal...bagi komen pedas dan panas.
Kenapa anaknya masih tak pandai membaca, walhal sudah berumur 06 tahun.
" Kalau tak pandai...tak payah mengajar"
Terpaksa laa jawab dengan berhemah.
Memang aku tak pandai...sekolah pun lulus STPM je..
Aduhh...nanar juga seketika.

12.30 pm
Kelas berakhir.
Bergegas ambil anak di sekolah yang berhampiran.

02.00 pm
Kelas Fardhu Ain di PASTI
Sekali fikir penat juga.

03.30 pm
Petik lobak & kacang di belakang rumah.
Pergi menjaja keliling kampung.
Dari rumah ke rumah. Malu tak payah cerita. Tapi demi sesuap rezeki.....diteruskan jua.
Arwah suami pernah berpesan.
"Janganlah berputus asa untuk hidup walaupun terpaksa menjual selipar buruk.
Berjuang lah demi agama dan anak-anak,
kerana mereka merupakan harta kita".
Air mata ini tanpa diminta menitis lagi..
Membasahi pipi kesekian kali.

05.00 pm
Jualan tak habis hari ini.
Sedekahkan kepada jiran.
Basikal pancit, terpaksa berjalan kaki dekat 3 kilometer ke rumah.
Penatnya..hanya tuhan yang tahu.
Jiran-jiran setiap hari dok kata.
"Dah laa mengajar nyerr...tak kaya pun kamu dengan kerja tu"
Betul juga...kalau ikutkan hati...dah lama berhenti.
Tapi...diri ini telah ditarbiah. Kerja ini akan diteruskan hingga ke akhir hayat ini.
Kerana pahala seorang guru akan berterusan selamanya.
Lebih hebat dari saham Pak Man Telo. :)

05.30 pm
Malam ini ada pasar minggu berhampiran rumah.
Kena jual kuih pula..
Tak buat sendiri, cuma berkerja dengan makcik sebelah rumah.
Dia bayar RM 15.00. Syukur, boleh buat belanja dapur dan anak-anak.

09.00 pm
Ada mesyuarat cawangan kat Surau.
Hari sabtu ni...diorang nak jemput penceramah datang sini.
Ceramah perdana. Pilihanraya pun dah dekat.

10.30 pm
Baru sampai rumah.
Nasib baik anak-anak pandai urus diri. Semua dah lena.
Ringan sikit tulang. Baru nak lelapkan mata...
Kak Besah datang 'menyerang' lagi..
Kononya cuba 'tackle' suami dia..walhal suaminya pun tak aku kenali.
Baru-baru ini dia buat hal depan orang ramai...kat kedai kopi.
Tuduh aku itu dan ini...

Ya Allah...Kuatkan hati hamba Mu ini.

p/s : Diari diatas adalah merupakan kisah benar seorang guru PASTI dan ianya telah diolah dengan sebaiknya. Cerita, nama & watak telah ditukar bagi menjaga sensitiviti individu tertentu. Guru berkenaan telah pun kembali ke ramatullah baru-baru ini. PASTI nya kini di tadbir oleh 2 orang guru baru yang mengambil alih tugas mentarbiah 50 orang pelajar.

Semoga kisahnya, menjadi iktibar buat semua..

1 ulasan: