Isnin, 17 Mei 2010

Perutusan Hari Guru 2010

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Segala puji-pujian bagi Allah s.w.t Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w penghulu segala anbiyai, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mujahidin yang menegakkan agama Allah hingga akhir zaman, seterusnya pada kaum muslimin dan muslimat warga kerja PASTI.

Di
kesempatan ini, saya mewakili ALP PASTI Negeri Selangor mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru PASTI Negeri Selangor. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah atas kejayaan PASTI kawasan Kota Raja selaku tuan rumah, MGP dan AJK induk serta pelaksana yang menyempurnakan Pesta Sukan PASTI Selangor yang telah diadakan baru-baru lalu.

"Guru Memimpin Perubahan 
Ummah” iaitu tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, menuntut guru-guru PASTI di alaf baru, khususnya guru-guru PASTI Selangor, berusaha bersungguh-sungguh untuk mendepani segala cabaran terutamanya cabaran pendidikan yang semakin banyak dan terus memperkasakan pendidikan PASTI disamping meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Islam sebagai suatu cara hidup yang rahmatan lil ‘alamin memancarkan cahayanya kepada segenap lapisan manusia tanpa mengira usia. Islam menekankan pendidikan hendaklah bermula daripada buaian khususnya dalam membina jati diri sebagai hamba Allah yang sejati. Di PASTI, guru-guru mengambil peranan yang amat berat dan penting di dalam menyemai dan menanamkan kekentalan aqidah setiap kanak-kanak bagi melahirkan tunas-tunas Islam dan seterusnya ummah yang berjiwa rabbani.

Saya yakin dengan komitmen
 dan iltizam serta pengorbanan yang tidak mengenal jemu dan penat lelah , guru-guru akan terus memimpin dan menyempurnakan peranan sertatanggungjawab sebagai pendidik di dalam membina jati diri tunas-tunas Islam agar menjadi anggota masyarakat atau ummah yang mendatangkan manfaat kepada Islam dan umatnya.


Akhirnya, kualiti imani dan amali guru-guru perlu dibugar dan ditingkatkan dari semasa kesemasa agar sentiasa hampir dengan barakah, pertolongan dan keredhaan Allah s.w.t.


SELAMAT HARI GURU 2010


UST HASBULLAH BIN MOHD RIDZUAN

Pengarah PASTI Negeri Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan