Rabu, 26 Mei 2010

Geran RM50 sebulan bantu keluarga miskin


SHAH ALAM, 30 Mei – Pelajar prasekolah bakal menerima geran berkapita RM50 sebulan selepas proses pengumpulan data keluarga dijangka selesai tidak berapa lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, bagaimanapun pembahagian geran tersebut hanya akan melibatkan keluarga miskin berpendapatan di bawah RM1500 sebulan.

Menurutnya, kriteria lain yang diperlukan ialah tadika yang mana kanak-kanak berkenaan belajar perlu berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS) dengan beroperasi minima dua tahun.

“Saya dalam proses mengumpul data tentang jumlah pelajar prasekolah untuk merancang bajet untuk kita berikan geran berkapita RM50 setiap seorang pelajar bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Kita tidak menetapkan sasaran berapa bajet yang akan dikeluarkan dan jumlah pelajar yang akan menerima geran tersebut asalnya permohonannya layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan penutupan Konvensyen Pendidikan Prasekolah Selangor 2010 dan pelancaran MPTS di sini, semalam.

MPTS yang dilancarkan semalam menerima 114 pendaftaran baru daripada tadika berminat sekitar Selangor dengan penyertaannya dibuka kepada semua jenis tadika tanpa mengira kaum.

Menurut Dr Halimah, penyerahan geran tersebut bagaimanapun tidak terhad kepada tempoh tertentu dan ia dijalankan secara berperingkat.

“MPTS akan dipertanggungjawabkan untuk menyelaras permohonan daripada tadika untuk pelajar-pelajar mereka yang layak untuk menerima geran itu. Sekiranya permohonan dibuat awal dan memenuhi kriteria ditetapkan seterusnya diluluskan kerajaan negeri, mereka boleh terus menerima geran berkenaan.

“Kita menyasarkan seberapa banyak penyertaan dan tujuannya adalah bagi membantu keluarga yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak ke prasekolah atau tadika,” katanya.

Dengan pemberian geran tersebut, katanya, diharap dapat menangani masalah pelajar tidak bersekolah ekoran kekangan kewangan keluarga.

YB Dr Halimah ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Pra Sekolah Selangor 2010 Anjuran Kerajaan Negeri Selangor dan MPTS di Shah Alam.

Sumber : http://www.selangorkini.com.my/my/berita/13123

Tiada ulasan:

Catat Ulasan