Isnin, 24 Mei 2010

Sambutan Hari Guru PASTI

Selayang, 23 Mei, Sempena Sambutan Hari Guru 2010, seluruh guru PASTI Negeri Selangor telah diraikan dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Lobi Utama Bangunan Menara Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Bandar Baru Selayang, Selangor. Seramai lebih 200 orang guru yang mewakili kawasan masing-masing telah berkumpul di sini dengan suasana ukhuwah dan meriah sekali.

Sambutan Hari Guru kali ini yang bertemakan “Guru PASTI Memimpin Perubahan Ummah” telah dirasmikan oleh Exco Pemuda PAS Pusat, YbBhg. Ustaz Kamal Ashaari. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah PASTI Negeri Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan, Ahli-ahli Lembaga Pengarah PASTI Negeri Selangor dan Pengerusi kawasan-kawasan.

Acara dimulakan dengan ucapan-ucapan aluan daripada Pengarah PASTI Negeri Selangor, Ustaz Hasbullah, Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Selangor, Pn Norhayati Abdul Razak dan diikuti dengan ucapan perasmian. Upacara melafazkan ikrar kemudiannya telah dilakukan oleh semua guru PASTI yang hadir.

Di majlis ini, ‘Anugerah Guru PASTI Cemerlang Kawasan’ telah disampaikan oleh Pengarah PASTI Negeri Selangor kepada 22 orang guru PASTI yang dipilih oleh kawasan masing-masing. Pn Noraini binti Abdul Rahman daripada PASTI kawasan Kota Raja telah dipilih menerima anugerah kecemerlangan pada tahun ini. Sementara itu ‘Anugerah Perkhidmatan Setia’ disandang oleh Pn Mahiran binti Talib dan ‘Anugerah Tokoh Guru PASTI Negeri Selangor’ dianugerahkan kepada Pn Fatimah binti Daud. Pn Khairiah binti Mohd, mantan Ketua MGP Negeri Selangor pula telah dianugerahi ‘Anugerah Tokoh PASTI Negeri Selangor’ pada tahun ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan-sumbangan besar yang dilakukan oleh beliau kepada institusi PASTI Negeri Selangor dan PASTI Malaysia amnya.

Di akhir majlis, motivator terkenal, Ustaz Akhwan Afendi telah membuat kejutan dengan muncul secara tiba-tiba dari arah belakang dewan dan menghiburkan para hadirin dengan sesi motivasi yang diselang-selikan dengan lagu-lagu nasyid sebagai pembakar semangat guru-guru PASTI.

Selamat Hari Guru. “Sekali menjadi guru selamanya menjadi guru”.

Guru-guru yang diraikan

Ucapan Perasmian oleh Ustaz Kamal Ashaari

Amanat Ketua MGP Negeri Selangor

Ikrar oleh guru-guru PASTI yang berdidikasi
Penerima Anugerah bergambar kenangan
Ustaz Akhwan menggamatkan suasana

Tiada ulasan:

Catat Ulasan